Bermula awal Februari hingga awal April, pelajar-pelajar perubatan di IMS Bangalore diserang demam peperiksaan. Demam itu makin terasa pada tahun ini apabila pelajar tahun satu juga turut diheret sama ke dewan peperiksaan. Kebiasaannya 2nd Internal untuk pelajar tahun satu adalah pada bulan Mei, tetapi pada tahun ini nampaknya pihak admin mahu memukalkan semua exam untuk semua batch pada masa yang sama.
Maka terjadilah suasana exam di mana-mana pun kita berada. Perbualan hangat di Day Fresh kini pun bertukar ke arah tips-tips untuk study dan menjawab soalan exam. Komen-komen di laman Facebook juga banyak berkisar tentang betapa tingginya tekanan menghadapi exam. Blok-blok Dwellington pun kelihatan suram dengan semua penghuninya tekun menekunkan diri di meja study.
Namun di sebalik semua impak ini, saya yakin impak yang terbesar adalah impak yang paling kita tak nampak iaitu impak kepada Iman kita. Seringkali diulang sebut oleh Saudara Farid Nazmi sahabat saya, exam ini bukanlah medan untuk menguji siapa yang hebat, sebaliknya ia adalah medan untuk menguji sejauh mana pergantungan kita kepada Allah. Exam adalah salah satu fasa untuk menguji sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah.
Fenomena yang biasa saya lihat sewaktu menuntut di KMB tiga tahun lepas, bila tibanya musim exam, surau itu bertambah jemaahnya dua atau tiga saf. Hamba-hamba Allah yang dahulunya liat untuk keluar dari sarang-sarangnya di blok-blok asrama kini keluar bak kupu-kupu yang berterbangan menuju ke arah lampu kalimantan. Masing-masing yang merasakan dirinya perlu bergantung kepada Allah datang untuk sujud mengharap pada-Nya di tempat yang lebih afdhal untuk sujud iaitu masjid.
Ramai mengatakan fenomena ini tidak sihat. Mereka itu hanya keluar bila ada exam, sesudah exam mereka akan masuk balik ke dalam sarang-sarang mereka sebagaimana ayat Allah dalam surah Al-Ankabut:
Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya. (65)
Biarlah demikian. Persoalannya, sejauh mana kita tahu bahawa mereka yang keluar dari sarangnya hanya akan berbuat demikian ketika exam? Sejauh mana pula kita yang mengecam pasti kita tidak akan berbuat demikian? Apa yang pasti, pada musim ini, ramai yang terbuka hatinya untuk meletakkan pergantungannya kepada Allah, Rabbul A'lamin.
Inilah juga masanya untuk kita membelai-belai diri kita dengan peringatan-peringatan kerana peringatan-peringatan itu membasahkan hati. Apabila basah hati, maka tenanglah ia. Moga-moga dengan tenangnya hati itu dapat kita menelaah dengan tenang dan sekaligus menjawab exam dengan tenang.
Apa yang penting moga-moga dengan rapatnya diri kita kepada Allah di kala kita memerlukan ini, Allah terus membuka pintu hidayahNya agar kita terus istiqamah di dalam ubudiyyah kepada-Nya. Lebih-lebih lagi agar kita terus istiqamah di dalam mendalami pemahaman kita terhadap agamaNya.
Semoga kalian semua sukses di dalam exam ini.
Wallahuallam
Anas Aminin W M Izzuddin
0 Response to 'Exam... Fasa Merapatkan Diri Dengan Allah'